Saturday, May 21, 2011

Harga barang: Anwar beri amaran situasi 2008 berulang


Pakatan Rakyat (PR) memberi khuatir kadar kenaikan harga makanan sekarang jika tidak dikawal akan menyebabkan rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih tinggi berbanding enam tahun lalu dan berulangnya situasi 2008.

“Pada kadar kenaikan harga makanan, dijangka pada akhir 2011 (tahun ini), rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding 2005.

“Sepanjang enam tahun tersebut harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga 2010,” kata Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Anwar, bekas menteri kewangan berkata, statistik inflasi terbaru dikeluarkan Bank Negara untuk empat bulan antara Januari dan April lalu begitu membimbangkan.

“Saya prihatin dengan kenaikan sebanyak 4.9 peratus harga makanan dan minuman tidak beralkohol dari bulan Januari sehingga bulan April tahun ini sekiranya dibandingkan dengan harga makanan serta minuman tidak beralkohol untuk jangka masa yang sama tahun lepas,” katanya.

Kata beliau, jika kenaikan itu tidak dibendung dan kekal untuk bulan seterusnya, tahun ini akan mencatatkan kenaikan harga makanan kedua tertinggi semenjak 2006.

“Kenaikan ini akan menambah derita rakyat sepertimana pada tahun 2008 lalu apabila harga makanan naik sehingga 8.8 peratus, akibat kenaikan mendadak harga minyak dan petrol” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan itu, kata Anwar, harga makanan di Malaysia naik dua kali ganda jika dibandingkan dengan harga makanan seluruh dunia sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, perbandingan antara Indeks Harga Pengguna (CPI) dilaporkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan statistik dikeluarkan Bank Negara menunjukkan ramai rakyat Malaysia bakal terkesan dengan tindakan terburu buru kerajaan merasionalisasi subsidi.

Malah kata Anwar, PR yakin wujudnya kaitan akibat dari penarikan subsidi buat rakyat Malaysia dengan kenaikan harga makanan sebagaimana yang dicatatkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Oleh itu kata Ketua Pembangkang di Parlimen, alasan kerajaan untuk menarik kembali subsidi atas alasan boleh meringankan beban defisit belanjawan ternyata lemah.

“Jelasnya rakyat yang terkesan akibat daripada program rasionalisasi tersebut sedangkan pembaziran serta ketirisan yang mengakibatkan defisit tidak pula diatasi sesegera mungkin.

“Rakyat mula muak dengan tatakelola ekonomi yang lemah oleh BN apabila mereka terpaksa menanggung derita sedangkan kroni dan mereka yang dekat dengan pemerintah mendapat keuntungan yang bukan sedikit malah tidak pula dihukum,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkata, PR telah merangka langkah yang jelas dan beriltizam untuk mengurangkan defisit belanjawan negara serta berusaha memastikan upaya itu tidak membebankan rakyat sebagaimana terkandung dalam Buku Jingga.

“Langkah ini termasuklah menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada elit serta syarikat yang dekat dengan pemerintah termasuklah syarikat IPP.

“Kita juga akan berusaha menghapuskan rasuah yang telah merugikan kerajaan persekutuan sekitar RM28 bilion setiap tahun,” katanya lagi. MK

No comments: