Saturday, May 14, 2011

Munafiknya Perdana Menteriku...


Lihat muka Tun bila tangannya dicium oleh Blogger BigDog (KJ gelar Fat Dog)


Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia (Utusan) Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik UMNO yang dipimpin Presiden Najib Razak pasti menakjubkan pelbagai pihak!


Semenjak zaman reformasi, komentari pelbagai pihak sama ada oleh ahli akademik, ahli politik, wartawan, penganalisa politik, aktivis masyarakat atau pihak lain telah membentuk "common sense" dalam kalangan masyarakat yang prihatin terhadap isu kebebasan media dan politik negara, bahawa Utusan bagaikan "lidah rasmi UMNO". Kini seorang bekas wartawan kanan Utusan telah membuktikan kesahihan "common sense" tersebut.

Kalau kecenderungan komentari selama ini melihat kawalan terhadap Utusan dari segi pemilikan syarikat dan "consumption" atau pemaparan berita saban hari, kini Hata Wahari membekalkan perspektif kawalan terhadap Utusan dari segi "production" atau penetapan agenda secara langsung dan tidak langsung oleh Biro Politik UMNO pimpinan Najib.

Betapa munafiknya PM

Pendedahan Hata Wahari sekali gus membuktikan betapa munafik seorang Perdana Menteri yang kononnya berazam membawa gagasan 1Malaysia jitu kepada rakyat jelata malahan berbicara tentang idea 1ASEAN tanpa segan silu semasa berucap pada Forum Kepemimpinan ASEAN kelapan baru-baru ini, seolah-olah retorik 1Malaysia yang penuh dengan bayangan politik fitnah dan unsur-unsur ekstrem dapat dijadikan inspirasi kepada negara-negara rantau ASEAN.

Kalau selama ini Najib cuba membentuk imej diri sebagai "Bapa Transformasi" melalui pengumuman pelbagai pelan transformasi dan penonjolan gagasan 1Malaysia yang kononnya mementingkan "prinsip pertengahan" (moderation) serta perpaduan, dan bertentangan dengan sifat ekstrem sesetengah organisasi seperti PERKASA atau komen pemimpin politik seperti Muhyiddin Yasin, kini pendedahan Hata Wahari menunjukkan bagaimana manusia bernama Najib dan organisasi bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu memainkan politik talam dua muka.

Politik talam dua muka ini cuba memaparkan Najib sebagai pemimpin yang membawa gagasan pertengahan sementara tindakan dan komen ekstrem PERKASA dan pemimpin politik UMNO yang lain adalah bertentangan dengan prinsip Najib, maka bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh Najib.


Pendedahan Hata Wahari memungkinkan perspektif berlainan dalam memahami politik talam dua muka yang dimainkan oleh Najib dan UMNO. Berikutan itu, pelbagai soalan timbul. Antaranya, selain Najib, Muhyidin, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamudin Husein, Safie Apdal, Tengku Adnan Mansor dan Ahmad Maslan yang berada dalam mesyuarat penetapan agenda Utusan, siapa lagi yang berkomplot dengan pemimpin UMNO dalam menjayakan agenda politik UMNO-Utusan?

Kalau diteliti pelbagai isu hangat yang dipelopori Utusan termasuk isu agama dan isu fitnah video seks, kemusykilan timbul berhubung peranan aktor tertentu seperti pimpinan PERKASA serta Datuk T dan hubungan mereka dengan UMNO-Utusan.

Talam dua muka

Antaranya, apakah politik talam dua muka memainkan peranan dalam pemaparan berita palsu Utusan bertajuk "Kristian agama rasmi?" yang dilaporkan pada 7 Mei 2011? Apakah Presiden PERKASA Ibrahim Ali yang mendakwa bahawa komunis di sebalik tabir agenda tersebut juga memainkan peranan dalam politik talam dua muka? Bagaimana pula dengan komplotan politik fitnah video seks?

Kini, susulan keputusan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta Menteri Dalam Negeri "mengambil tindakan keras ke atas laporan palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7 Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian", apakah Hishammuddin akan mengambil tindakan keras terhadap Utusan?

Sementara kita menyaksikan perkembangan seterusnya, otak durianku terfikir membicarakan hubungan antara media dan kuasa pemerintah serta pembentukan kuasa media dalam konteks yang lebih luas.

Kekompleksan kuasa media dapat ditonjolkan dari pelbagai aspek. Keunikan Utusan adalah fakta bahawa pemilikan dan penetapan agenda oleh UMNO jelas menjadikannya "suara UMNO", bukan sebagai suara masyarakat kepelbagaian etnik, ideologi dan pandangan yang menjadi hakikat Malaysia khususnya dalam era internet. "Suara UMNO" juga merujuk kepada suatu bentuk "kuasa politik-media" yang besar sehingga mampu melakukan fitnah atau pembohongan terhadap "musuh politik" dan "musuh peribadi".

Lantaran itu, Utusan tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Utusan hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan UMNO khususnya Najib yang terdesak kerana berdepan dengan tekanan pilihan raya umum akan datang sehingga menggunakan Utusan untuk memainkan politik fitnah dan politik talam dua muka.

Dewasa ini, Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya tidak lagi memerlukan Utusan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam dan di luar Malaysia. Namun tidak cukup sekadar menolak Utusan. Kita wajar menolak rejim pemerintah yang mahukan kawalan ketat terhadap media massa diteruskan. Kita juga wajar menolak mana-mana akhbar yang cuba mencontohi Utusan!

Akhbar bahasa Cina

Justeru, mentaliti dan hipokrisi sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina wajar dibangkitkan untuk menghalusi pemahaman kita apabila membicarakan kuasa media yang diperolehi Utusan khususnya dan media amnya.

Untuk berdekad lamanya khususnya selepas penggantungan permit penerbitan Sin Chew Jit Poh semasa Operasi Lalang 1987 dan dalam konteks Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (pindaan) 1987, barisan editor kanan sesebuah akhbar Bahasa Cina cenderung melihat laporan politik Utusan, Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) sebagai rujukan utama.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, apabila didapati wujud berita berkenaan sesuatu yang negatif terhadap pimpinan UMNO-Barisan Nasional atau sesuatu yang dikira sensitif, laporan Utusan, BH atau NST dijadikan rujukan. Apabila akhbar Utusan, BH atau NST memberikan liputan besar, hal ini bermaksud adalah selamat untuk akhbar Bahasa Cina melaporkan isu yang sama pada keesokan harinya.

Logiknya adalah bahawa laporan Utusan, BH dan NST melambangkan agenda UMNO, dan pengalaman akhbar Bahasa Cina yang kononnya lebih "vulnerable" berbanding dengan Utusan, BH dan NST yang mempunyai sokongan politik (rujuk kepada UMNO) yang kuat apabila berdepan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri.

Lantaran itu, akhbar seperti Utusan, BH dan NST dilihat sebagai memiliki kuasa politik yang "tidak dimiliki" akhbar Bahasa Cina. Maka setiap kali kritikan dilontar terhadap akhbar Bahasa Cina yang melakukan penapisan diri (self-censorship), laporan berita yang tidak beretika atau berkepentingan diri, logik sedemikian dibangkitkan untuk mematikan kritikan.

Dengan kata lain, apa yang cuba diutarakan adalah bahawa akhbar Bahasa Cina tidak bersekongkol dengan kuasa politik dan tidak membentuk "kuasa politik-media". Logik sedemikian mirip dengan hujah bahawa Najib yang "moderate" tidak bersekongkol dengan kuasa esktrem sedangkan komplotan kuasa sebenarnya mengambil tempat, cuma imej "pertengahan" Najib dperkukuh melalui pembentukan persepsi "kuasa politik-media".

Aspek yang jarang-jarang sekali dibincangkan adalah, yang berdepan malahan berkomplot dengan kuasa politik tidak terhad kepada Utusan, BH dan NST, akhbar Bahasa Cina juga bersekongkol dengan kuasa politik. Contoh klasik ialah hubungan komplotan sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina dengan pemimpin tertentu MCA yang begitu menonjol sekali semasa pertarungan politik berlaku sesama puak bertentangan dalam MCA.

Apa yang ingin dibicarakan di sini adalah, selain berdepan dengan kawalan politik, akhbar yang bersekongkol dengan rejim pemerintah juga membentuk kuasa politik sehingga mampu melancarkan serangan terhadap musuh rejim pemerintah dan individu atau golongan yang dianggap musuh peribadi editor kanan akhbar arus perdana tanpa check and balance.

Sesungguhnya, logik akhbar Bahasa Cina lebih "vulnerable" telah dijadikan alasan oleh editor kanan untuk berdekad lamanya sementera menikmati kepentingan tertentu melalui politik talam dua muka dalam kalangan editor akhbar arus perdana.

Sebab itu, setiap tahun apabila terbaca bicara editor kanan akhbar arus perdana mengenai kepentingan kebebasan media sempena hari kebebasan akhbar sedunia, otak durianku akan membisik kepada diriku, jangan kita terpedaya dengan politik talam dua muka editor kanan akhbar yang bersekongkol dengan kuasa establishment!

Sesungguhnya, hubungan komplotan sedemikian telah memperkukuh cengkaman rejim pemerintah terhadap media. Malahan, apabila sesetengah wartawan bangkit atau masyarakat madani bergerak mempertahankan kebebasan media, hubungan komplot sedemikian menjadi halangan kepada perjuangan membebaskan media daripada kawalan ketat rejim pemerintah.

Ooi Heng - MerdekaReview.


No comments: