Skim Rumah Pertamaku yang dijaja oleh Perdana Menteri hakikatnya memperdaya dan menipu golongan muda, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. “Kononnya pembiayaan 100 peratus, sedangkan hakikatnya pembiayaan tidak dapat diperolehi. Ini ternyata memperdaya dan menipu golongan muda,” katanya.
Menurut Salahuddin, untuk menarik sokongan golongan muda kepada Barisan Nasional (BN), kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan skim tersebut yang tidak dikaji sepenuhnya sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
“Skim yang tidak dikaji sepenuhnya sama ada boleh dilaksanakan atau tidak itu hakikatnya hanya memberikan harapan palsu kepada golongan muda apabila diwar-warkan oleh Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Beliau kesal kerana sokongan golongan muda kepada BN diumpan dengan harapan palsu dan pembohongan yang akhirnya memperdayakan mereka.
Skim Rumah Pertamaku diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2011 tahun lalu dan dilancarkan Mac kononnya untuk membantu golongan muda berusia sehingga 35 tahun memiliki kediaman pertama dengan pembiayaan 100 peratus.
Semalam, sebuah akhbar harian pro Umno melaporkan bahawa skim itu “tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya” oleh kebanyakan golongan muda.
Menurut akhbar itu, walaupun memenuhi kriteria asas ditetapkan termasuk pendapatan di bawah RM3,000, golongan muda yang mahu memanfaatkan skim itu akan menghadapi masalah sebaik ‘dinilai’ institusi perbankan yang mengambil bahagian dalam menawarkan pembiayaan bagi kediaman bernilai antara RM100,000 hingga RM220,000, seperti dikehendaki skim berkenaan.
Akhbar itu melaporkan, seorang eksekutif Teknologi Maklumat (IT), Nur Syafinas Zamri, 26, yang bekerja sebaik memperoleh Ijazah Sarjana Muda berkata, pendapatannya, meskipun di bawah RM3,000, tidak memungkinkan beliau membeli kediaman di bawah skim itu.
Dengan gaji pokok berserta elaun tetap RM2,680 sebulan, akhbar itu Nur Syafinas terpaksa mengeluarkan perbelanjaan melebihi RM1,700 sebulan bagi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ansuran bulanan kereta, bayaran pinjaman pelajaran, kad kredit serta perbelanjaan harian dan wang diberi kepada keluarga.
“Apabila menghubungi pihak bank, mereka memaklumkan ansuran bulanan bagi pembiayaan perumahan saya di bawah skim itu secara kasar berjumlah RM1,025 dan ia melebihi syarat pembayaran balik di bawah skim berkenaan yang sepatutnya tidak melebihi 1/3 daripada pendapatan bulanan individu,” akhbar itu memetik beliau berkata.
Akhbar itu juga melaporkan, seorang kakitangan swasta, Naizatul Zamrina Karizaman, 26, berkata tinjauan dilakukannya mendapati hartanah sekitar Lembah Klang hanya bermula pada RM300,000 seunit, melepasi skala harga ditetapkan kerajaan melalui skim itu.
Beliau berhasrat membeli kediaman di ibu kota supaya dapat menetap berhampiran ibu bapanya selain memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
“Mustahil mendapat kediaman di ibu kota berharga antara RM100,000 hingga RM220,000. Jika adapun harga murah, mungkin hanya rumah dilelong.
“Satu-satunya pilihan yang ada sekiranya golongan muda mahu mendapatkan hartanah melalui skim itu ialah memilih kediaman di pinggir bandar yang kebanyakannya terletak 50 kilometer (km) dari ibu kota,” katanya kepada akhbar itu.
No comments:
Post a Comment