Thursday, May 19, 2011

Nostalgia Felda 1980-an - 3605 Peneroka Felda disingkir sehingga 14 April 1984


Sehingga 14hb April 1984, seramai 3605 Peneroka Felda telah disingkirkan dari tanah Rancangan. Mengikut kata Rais Yatim yang menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah pada ketika itu, peneroka-peneroka yang disingkirkan adalah mereka yang melanggar syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Saya mengambil sikap kritikal terhadap penyingkiran peneroka-peneroka Felda di tahun-tahun 1980-an itu jika sebab-sebab penyingkiran mereka disebabkan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan syarat penempatan dan kemajuan rancangan.

Ramai diantara peneroka-peneroka yang dipecat kerana salah seorang daripada keluarga peneroka itu terlibat dengan kes jenayah.

Kadang-kadang kes jenayah itu melibatkan peneroka sendiri, dan peneroka itu dibicarakan di Mahkamah, didapati bersalah, maka keseluruhan keluarga peneroka itu diperintah keluar daripada rancangan Felda.

Ini adalah tindakan yang zalim, yang tidak selari dengan amalan yang dilakukan diluar rancangan Felda berhubung dengan pemilikan tanah.

Pemilik tanah diluar rancangan Felda tidak akan kehilangan tanahnya jika pemiliknya itu melakukan jenayah, dan keluarganya tetap boleh mendiami diatas tanah itu melakukan kerja-kerja mencari rezeki diatas tanah itu dan tanah itu tidak ditarik dari keluarga itu walaupun pemiliknya didapati bersalah di Mahkamah.

Apatah lagi jika yang melakukan jenayah itu bukan penerokanya sendiri tetapi dilakukan oleh anaknya, maka kenapa seluruh daripada keluarga peneroka itu dihukum dengan perintah singkir dari rancangan Felda.

Lebih dirasakan kezalimannya apabila jenayah yang dikaitkan itu adalah sebenarnya perkara-perkara teknikal seperti melakukan kerja-kerja politik yang bertentangan dengan politik UMNO/BN.

Kerapkali, seseorang peneroka yang menjalankan aktiviti politik pembangkang didalam kawasan tanah rancangan dianggap sebagai memecah-belahkan masyarakat peneroka Felda dan peneroka itu boleh disingkirkan. Penyingkiran kerana menjalankan aktiviti politik adalah tindakan zalim oleh Felda.

Felda didalam melakukan tindakan singkir ini mengambil sikap bahawa Felda lah yang layak menterjemahkan undang-undang dan membelakangkan hak Kerajaan Negeri dibawah Group Settlement Act. Sebarang penyingkiran dari tanah rancangan adalah kuasa Kerajaan Negeri dan kuasa itu terletak kepada Pentadbir Tanah Daerah.

Berapa ramai sudah peneroka-peneroka Felda disingkirkan secara zalim kerana semata-mata mereka tidak bersetuju dengan politik UMNO.

Saya turut mempertahankan peneroka-peneroka yang disingkirkan ini dengan mengambil tindakan injunction di Mahkamah Tinggi dan banyak dari tidak dengan tindakan injunction ini dapat mengembalikan peneroka-peneroka itu kedalam rancangan Felda.

Kes-kes jenayah yang sentiasa berlaku pada waktu itu melibatkan penjualan hasil (sawit/getah) kepada kilang-kilang bukan Felda. Pendapatan peneroka pada tahun-tahun sekitar 1980-an itu amatlah kecil, ada yang berpendapatan dibawah RM10.00 sebulan, dan ada yang berpendapatan -RM10.00. Mereka terpaksa menghantar hasil ladang ke luar rancangan Felda untuk mendapatkan sedikit wang tunai untuk keperluan mereka seperti perbelanjaan anak-anak termasuk anak-anak yang bersekolah.

Semasa saya menjadi Majistret di sekitar tahun-tahun 1970-an, kes-kes curi getah skrap dari kebun sendiri, tidak pernah saya jatuhkan hukuman salah, kerana getah skrap itu adalah dari kebun peneroka itu sendiri, peneroka itu juga yang menoreh getah, dan peneroka itu juga yang menjualkan hasil skrap mereka keluar rancangan. Bagi saya tidak berlaku kes curi keatas harta sendiri oleh diri sendiri.

Begitu juga dengan penjualan baja yang dijualkan semula oleh peneroka kepada petani-petani diluar rancangan. Mereka sangat memerlukan wang tunai memandangkan pendapatan mereka sangat kecil. Betul, mereka tidak kebuluran kerana mereka boleh berhutang melalui kedai-kedai PNF. Tetapi tidak ada seorang manusia pun diluar rancangan Felda yang mahu pendapatan mereka hanya dibayar dengan barang makanan semata-mata, mereka tetap juga mahukan wang tunai ditangan mereka.

Ada kes khalwat, ada kes rogol, dan ada kes menumbuk pengurus felda. Kes-kes ini adalah kes jenayah. Betul, mereka melakukan jenayah dan dihukum bersalah oleh Mahkamah, tetapi kenapa dizalimi seluruh keluarga peneroka itu diperintahkan keluar dari rancangan Felda walaupun jenayah itu dilakukan oleh seorang daripada keluarga peneroka itu, dan kadang-kadang bukan dilakukan oleh Peneroka itu sendiri.

Seramai 365 peneroka Felda dikeluarkan kerana tindakan memburukkan Kerajaan. Ini adalah jelas kes politik.

Rakyat yang menjadi peneroka dinafikan hak berpolitik, berpesatuan, berkumpul dan menjadi anggota kepada parti-parti (pembangkang) yang sah disisi Perlembagaan. Pentadbiran Rais Yatim menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah adalah pentadbiran yang penuh dengan kebobrokan.

Saya masih teringat kepada seorang peneroka di Felda Jengka 25(?) apabila dia menentang tindakan Felda menyediakan perabot baru dan renovasi rumah keatas sebuah rumah peneroka yang akan dinaiki oleh Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah yang akan melawat rancangan itu.

Beliau telah disingkirkan dan seluruh keluarganya tidak dibenarkan tinggal di rancangan itu. Tidakkah tindakan penyingkiran itu zalim semata-mata kerana peneroka itu tidak mahu berlaku perbuatan hipokrit diatas tanah rancangan Felda itu untuk menunjuk-nunjukkan kepada Menteri bahawa peneroka hidup dengan kemewahan dengan perabot dan renovasi mee segera?

Diatas tangan yang menandatangani surat singkir kepada peneroka berkenaan akan disoal diakhirat nanti, suatu kezaliman yang nyata!


lubokkawah

No comments: