Friday, June 3, 2011

Inkues kes Sarbaini cetus keraguan


KUALA LUMPUR, 3 Jun — Pengumuman polis semalam, yang disifatkan sebagai “secara tiba-tiba”, agar diadakan satu inkues berhubung insiden kematian pegawai Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed di pejabat SPRM dua bulan lalu, mencetuskan lebih banyak keraguan, kata pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

“Kami menganggap keputusan polis dan Peguam Negara sebagai sesuatu yang meragukan, tidak wajar dan tidak betul,” kata dua naib presiden parti itu, N Surendran dan Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

Pengumuman mengenai keperluan inkues itu dibuat sehari selepas kepimpinan PKR menyerahkan memorandum kepada Polis Diraja Malaysia meminta disegerakan siasatan berhubung aduan dibuat oleh balu Ahmad Sarbaini (gambar), bekas penolong pengarah Kastam yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Kata mereka, pendakwaan jenayah adalah lebih wajar daripada disyorkan agar diadakan satu inkues buat masa sekarang.

Malah kata mereka, Ahmad Sarbaini berada dalam keadaan sempurna dan seorang ketua keluarga yang sihat, yang pergi ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan di agensi pencegahan rasuah itu.

“Tiada bukti yang beliau bunuh diri dan dibuktikan bahawa beliau tiada kekayaan di luar kemampuan. Motif dia membunuh diri juga tidak wujud,” kata kenyataan itu lagi.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, jika benar wujud keraguan yang serius berkenaan punca kematiannya, polis dan Jabatan Peguam Negara seharusnya telah mengarahkan inkues dengan segera susulan insiden itu awal April lalu.

“Malah sejak kematiannya, polis memberikan gambaran bahawa siasatan berjalan dengan lancar dan orang ramai dan keluarganya akan terima penjelasan mengenai kematiannya secepat mungkin.

“Adakah gambaran ini diberikan hanya untuk memuaskan kemarahan orang ramai ekoran tragis ini?” kata kenyataan bersama ini.

Kata mereka, pada pertengahan April lalu, pihak polis juga ada mengatakan siasatan di peringkat akhir dan kini kelihatan ia tidak berguna sehingga satu inkues perlu diadakan.

“Mengapakah publik dikelirukan dalam hal ini? Malah, pengumuman mengejutkan ini datang sehari selepas PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara mempersoalkan kurangnya tindakan (pihaknya) dalam kes Sarbaini,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, kata kenyataan tersebut, perkembangan terbaru ini merumuskan tujuan inkues adalah untuk melengah-lengahkan kes Ahmad Sarbaini dan membiarkan orang ramai tertanya-tanya mengenai kemajuan insiden kematian Allahyarham.

Sebaliknya, kedua-dua pemimpin itu menggesa agar kerajaan mendedahkan hasil siasatan polis mengenai kematian Ahmad Sarbaini kepada umum.

“Rakyat dan keluarga Sarbaini berhak untuk mengetahui mengapa tiada jawaban lagi mengenai punca kematian Sarbaini.

“Polis dan Peguam Negara mesti menjelaskan sebab-sebab mereka mahu memanggil inkues dan mengapa siasatan gagal mengenal pasti punca kematian,” kata kenyataan itu sambil menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab atas kematian Ahmad Sarbaini. - TMI

No comments: