KL 14 Mei 11: DAP bongkar penyelewengan berhubung kenyataan Menteri KDN Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berdasarkan bukti baru dalam sebuah laporan polis yang dibuat di Pulau Pinang hari semalam, mengenai konspirasi menjadikan Kristian agama rasmi negara dan melantik seorang PM di kalangan penganut berkenaan.
Ahli parlimen DAP-Jelutong, Jeff Ooi hari ini mendakwa terdapat kemungkinan bahawa lelaki yang membuat laporan polis dengan 'variasi lain' mengenai dakwaan 'konspirasi Kristian' dipaksa berbuat demikian. Pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, Ooi berkata beliau percaya ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba Mohamed Razali Abdul Rahman, yang membuat laporan polis itu semalam dipujuk oleh saudaranya yang bekerja sebagai polis cawangan khas yang memantau kegiatan politik di kawasan Jelutong.
"Kami diberitahu Mohamed Razali dan anggota polis itu ada pertalian keluarga dan anggota itu yang dikatakan berperanan membantu Utusan Malaysia mendapatkan berita itu. Saya harap polis juga boleh mula siasat dari sudut ini dan adil serta bebas dalam siasatan kes berkenaan.
"Kita tidak tahu motif atau niatnya membuat laporan polis lima hari setelah kami membuat laporan polis menafikan dakwaan yang dibuat di Utusan... (yang) juga diiringi oleh beliau,” kata Ooi sambil menunjukkan sekeping gambar Mohamed Razali bersamanya ketika membuat laporan polis pada 8 Mei lalu.
Semalam, polis mengesahkan mereka menerima laporan yang mempunyai 'variasi lain' berhubung apa yang terjadi. Bagaimanapun kedua-dua Mohamad Razali dan pihak berkuasa juga enggan mendedahkan apa yang terkandung dalam laporan itu.
"(Laporan di) Utusan dan TV3 (mengenai laporan polis Mohamed Razali) kekurangan butiran. Kedua-dua melaporkan (beliau) berada di lokasi makan malam yang dianjurkan oleh masyarakat Kristian dan dia berkata 'saya tau apa yang sebenrnya berlaku'. Beliau berselindung di sebalik laporan polis itu.
"Kami berharap Mohamed Razali mengulangi apa yang dilaporkannya kepada polis supaya kami boleh mengambl tindakan undang-undang jika kenyataannya mengancam kedudukan DAP dan masyarakat Kristian,” kata Ooi.
Utusan pada 7 Mei lalu, bersandarkan pendedahan di dua blog pro-Umno menyiarkan tajuk utama mendakwa paderi Kristian bercadang menukar agama rasmi persekutuan dan melantik seorang pemimpin di kalangan penganut agama itu sebagai perdana menteri.
Ooi berkata tindakan Mohamed Razali, yang tampil bagi membuat laporan yang menurut pihak berkuasa memberi laporan Utusan “ada asas kebenaran” sebagai tidak logik. "Jika wujud konspirasi, kami tidak akan menjemput sesiapa, apa lagi seorang Islam.
"Ini common sense dan bagi mendakwa saya adalah penganjur supaya ikrar seperti ini diadakan juga tak masuk akal. Mereka harus tahu, saya beragama Buddha dan mengamalkan ajaran itu,” kata Ooi.
Semalam, Mohamed Razali, 42, yang hadir pada majlis tertutup paderi-paderi berkenaan tampil membuat laporan polis.
"Saya datang untuk ceritakan keadaan sebenar apa yang berlaku di sana (majlis berkenaan) sebab saya sendiri pun hadir pada majlis tersebut. Saya buat laporan ini sebab terlampau kecewa dengan laporan-laporan (dalam media) sebelum ini yang dibuat beberapa pihak yang mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.
"Jadi saya pun buat laporan dan saya serah kepada polis untuk buat siasatan lanjut tentang isu ini," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis Jalan Patani di Pulau Pinang selepas membuat laporan itu. Mohamed Razali yang ditemani isteri tiba di balai tersebut pukul 9 pagi dan keluar kira-kira tiga jam kemudian. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran yang dilaporkan kepada polis dengan alasan tidak mahu mengganggu siasatan. (Malaysiakini/IH)
No comments:
Post a Comment