Thursday, May 19, 2011

Angkara 'Madey kutty', 'pandy kutty' dan Big Dog


SEHARI dua ini negara Malaysia semakin dipopularkan dengan pelbagai istilah baru yang berkaitan dengan keburukan orang-orang politik dan juga beberapa gelaran yang sengaja dijadikan nama pena para bloggers tertentu.


Perihal gelar menggelar orang politik dengan nama-nama tertentu bukannya baru dalam politik Malaysia. Seingat penulis, gelaran yang ketara dibuat orang-orang politik kepada lawan politiknya, ialah pada era Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.


Gelar mengelar ahli politik dengan pelbagai nama yang buruk ini sebenarnya dimulakan oleh orang-orang Umno dan bekas orang-orang Umno.

Jika kita imbau kembali apa yang berlaku pada zaman 1980-an. Antara yang terbabit memaki hamun Dr Mahathir adalah di kalangan ahli politik parti haram Umno (diharam pada tahun 1988). Jika hendak dicatatkan di sini cukup ramai. Juga termasuk dengan bekas-bekas pemimpin muda KeADILan yang sudah mendapat laba yang besar dalam Umno.

Apa gelaran yang mereka tidak sebutkan sewaktu memaki hamun Dr Mahathir? Ada yang kata 'Madey Kutty' ada yang kata 'Mamak Tongkang' dan sebagainya.

Tercatat dalam sejarah PAS pernah bersama dengan pemimpin-pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (1989-1995), sewaktu di dalam ceramah, mereka menggunakan bahasa yang kasar lagi kesat terhadap pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir.

Begitu juga sewaktu era reformasi sehingga 2003, di mana ramai pemimpin muda KeADILan, yang bersama PAS di atas pentas ceramah, menggunakan bahasa yang teramat kesat, yang tidak sanggup diulang dalam ruangan ini.

Sebahagian besar 'kaki hamput' Umno ini 'sudah menjilat ludah mereka sendiri'. Mereka kini menjadi pengampu Umno nombor wahid, bagi menjilat segala dosa yang mereka lakukan terhadap Umno.

Sewaktu era Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM juga berlaku gelar-menggelar. Bekas PM, Dr Mahathir digelar 'beruk yang menggoncangkan pokok' oleh menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Lebih teruk lagi apabila Umno Terengganu dengan sikap yang amat kurang ajar menggelar Sultan mereka sebagai 'binatang'. Ini fakta berfoto yang dirakam dalam demonstrasi penyokong Dato' Seri Idris Jusoh di hadapan Istana Terengganu di Kuala Terengganu.

Jika ditanya balik kepada semua penceramah dan pendemonstrasi yang kurang ajar ini, mengapa mereka mengeluarkan kata-kata kesat, kasar dan kurang ajar ini? Bukankah kerana amarah yang sudah tidak terbendung? Bukankah kerana tekanan hebat yang diterima? 

Justeru apa yang dihairankan jika terkeluar kali ini istilah 'pandy kutty' daripada mulut Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau anak-beranak dikecam, dimaki hamun dan dicerca dengan begitu menjijikkan oleh pemimpin Umno, media tali barut Umno dan macam-macam lagi.

Walaupun KeADILan menafikan Anwar menggunakan perkataan 'pandy kutty' kepada Dato' Seri Najib Razak pada satu majlis di Klang, tetapi hakikatnya ia terkeluar akibat daripada tekanan yang melampau dikenakan Umno-BN ke atas beliau.

Kata Naib Presiden KeADILan, N Surendran,"Perkataan ini (pandy kutty) bermakna babi kecil. Saya berada di majlis tersebut dan mengesahkan di sini bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan perkataan tersebut terhadap Najib.

“Sebaliknya beliau menggunakan perkataan tersebut berkaitan dengan politik kotor dan jijik yang diamalkan oleh Barisan Nasional,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Kata Surendran, "kami sekali lagi menuntut bahawa pemimpin BN hentikan politik kotor dan pengeluaran kenyataan palsu dengan segera."

Jadi soal gelaran anak babi ini benda kecil sahaja. Orang-orang Melayu, kadang-kadang kalau marah akan terpacul perkataan babi kepada orang yang dimarahi. Malah ada istilah dalam kamus Melayu disebut 'jahat macam setan (syaitan)'. Apa beza gelaran anak babi dengan syaitan jika diungkapkan kepada golongan yang jahat? 

Penulis masih ingat sewaktu berada di sekolah menengah. Guru disiplin menangkap empat orang budak-budak nakal. Budak-budak yang nakalnya terlampau ini dibawa ke hadapan perhimpunan untuk dirotan.

Sebelum merotan budak-budak nakal ini, penulis mendengar dengan jelas celoteh guru disiplin terhadap mereka. Antara lainnya beliau mengatakan, "Kau orang ini, kalau syaitan jumpa kamu, mesti dia tabik kat kamu. Sebab kejahatan yang kamu lakukan, syaitan pun tak tergamak nak buat."

"Hahaha," gelak besar semua murid dan guru dalam perhimpunan tersebut.

Berbalik soal politik Malaysia, di sebalik gelaran-gelaran yang melampau ini, mutakhir ini tercetus pula polemik dalam negara apabila seorang blogger Zakhir Mohamed atau terkenal dengan gelaran Big Dog yang mencetuskan kontroversi isu negara Kristian baru-baru ini.

Zakhir menerusi blognya bigdogdotcom.wordpress.com mendedahkan, kononnya terdapat ikrar paderi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dalam pertemuan mereka di Pulau Pinang baru-baru ini.

Posting yang dibuat oleh Big Dog disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, sekali gus boleh mencetuskan ketegangan agama di antara umat Islam dengan golongan Kristian.

Oleh kerana akhbar Utusan Malaysia dijadikan pegangan akidah sebahagian besar ahli-ahli Umno dan golongan pelampau Melayu, apa sahaja yang dipaparkan, walaupun ianya berita bohong dan jijik, akan ditelan bulat-bulat mereka.

Akibat daripada akidah yang diciptakan Utusan Malaysia, maka golongan pelampau yang jahat ini, dengan api yang bersemarak di hati mereka, mula membuat pelbagai ancaman dan kecaman kepada golongan Kristian dan kaum bukan Melayu.

Selain daripada penegasan pemimpin Pakatan Rakyat, menolak agenda jahat Utusan Malaysia dan Big Dog ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, terus menyerang Zakhir dalam satu posting di laman sosial Twitter.

Khairy selaku Ketua Pemuda Umno tidak dapat menyembunyikan kemarahan beliau terhadap blogger Big Dog.

Penulis mendapat khabar, di sebalik serangan Khairy terhadap Zakhir, difahamkan, pertikaian antara kedua mereka sudah lama berlaku.

Zakhir sememangnya diketahui sering menyerang Khairy melalui tulisannya di blog dan Twitter dan tidak hairanlah jika Khairy mengambil peluang kali ini untuk memulangkan paku buah keras terhadap Zakhir.

Dalam satu posting di Twitter 12 Mei lepas, Khairy mengulas saranan pihak tertentu supaya Zakhir ditahan kerana menimbulkan dakwaan berkenaan.

Namun, secara sinis beliau berkata Zakhir tidak sepatutnya ditahan bawah ISA di pusat tahanan Kamunting kerana tindakan itu hanya akan membazirkan wang.

"Bazir je duit rakyat nak kasi anjing tu makan tiap-tiap hari kat Kamunting. Setakat sepinggan nasi mana cukup!

"Sudahlah nak cover line. Dah kantoi la Fats. Proven liar (dibuktikan penipu). Pi pig out (pergi mentekedarah) kat (restoran) The Loaf," kata Khairy dengan nada yang agak keras.

Dalam reaksi kepada laporan Utusan Malaysia, Dr Mahathir mendakwa desakan daripada ekstrimis agama meningkat kerana Kerajaan Persekutuan (Umno-Barisan Nasional) berada dalam keadaan yang lemah.

"Semasa saya menjadi PM perkara ini tidak berlaku, saya mendapat sokongan daripada semua Kristian, Hindu, Buddha, tiada apa-apa desakan," kata beliau.

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan mengulas lanjut kerana dakwaan paderi mahukan Kristian menjadi agama rasmi Malaysia, tidak ada bukti.

Apa pun jika kita fahami kata-kata mantan PM ini, jelas pada beliau, kerajaan yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Razak sekarang ini berada dalam keadaan yang lemah.

Akibat kelemahan Najib, diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan kontroversi dan polemik agama dan perkauman.

Ada andaian Umno-BN sengaja menciptakan polemik ini, untuk menarik perhatian rakyat, kononnya dengan kembali menyokong Umno-BN sahaja, polemik ini akan dapat diselesaikan.

Masalah besar yang dihadapi Umno bukannya polemik yang dicetuskan oleh pihak luar kerajaan, sama ada daripada golongan Kristian, Hindraf, DAP dan sebagainya.

Hakikat sebenar yang cuba diselindungkan adalah kepercayaan komponen BN terhadap Umno selaku ketua mereka sudah tidak ada. Komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC sering berpolemik dengan Umno dalam banyak isu berkait hak kaum dan agama.

Umno tidak boleh menyelesaikan perkara ini. Apabila Umno gagal, ia cuba mencetus polemik lain di luar kerangka BN, untuk menarik sokongan rakyat pula.

Sebaliknya Umno tidak sedar bahawa cara politik mereka sudah tidak boleh diterima rakyat. Politik 'menyembunyikan pekung' sudah tidak wujud kerana rakyat sudah menghidu bau kebusukan daripada pemimpin Umno.

Justeru, untuk menghilangkan kebusukan ini, kita tiada cara lain, selain menumbangkan Umno-BN dalam PRU yang akan datang. - darisungaiderhaka.


No comments: